KUALA LUMPUR: Perebutan untuk pembelian Kelab Kelantan FC kembali terbuka. Terbaharu, usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman menegaskan pihaknya belum melepaskan hasrat untuk membeli kelab itu.
Menurut Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida berkata beliau telah berjumpa dengan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau turut dikenali sebagai Zamsaham berhubung perkara itu pada Sabtu lalu.
Awal hari ini, seorang usahawan dari Kelantan, Erfan Akif atau Erfan Lee Ruslan mengesahkan sudah menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA) dengan Norizam dipercayai bagi proses pembelian Kelantan FC.
Erfan bagaimanapun berkata intipati perjanjian, masa dan tarikh perjanjian ditandatangani tidak boleh didedahkan.
Vida dipetik sebagai berkata bahawa beliau tidak akan menyerah kalah dan masih berusaha untuk membeli ‘The Red Warriors.’
Tambahnya, Erfan yang berusia 30-an perlu membuktikan kemampuan untuk menerajui dan mengelolakan Kelantan FC.
“Ini kerana kalau dibiarkan kepada mereka yang masih baru, sampai bila pasukan ini akan terumbang-ambing. Pasukan lain sudah menunjukkan perubahan tetapi Kelantan FC masih tercorot,” katanya.
Vida mengesahkan bahawa isi perbincangan antara pihaknya dengan Norizam tidak dapat didedahkan buat masa ini.
“Saya sudah bertemu Zamsaham di Pulau Pinang dan mengadakan perbincangan tertutup. Namun segala maklumat lanjut mengenai perbincangan itu dirahsiakan untuk seketika ini. Persetujuan harga masih dalam rundingan dan (harga) terbaik untuk kita,” tambahnya.
Norizam sebelum ini dilaporkan berkata Erfan bersedia membayar sebanyak RM10 juta bagi membeli Kelantan FC.
Ia adalah hampir sekali ganda daripada nilai awal lebih RM5 juta yang diunjurkan Norizam untuk kelab yang dibelinya pada September 2020 itu.