KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaya Pau Marti Vicente mengumumkan perkhabaran mengejut apabila memaklumkan Piala AFF 2024 adalah tugasan terakhirnya bersama skuad kebangsaan.
Pengendali dari Sepanyol itu menjelaskan pengundurannya daripada mengendalikan skuad Harimau Malaya adalah kerana keputusan yang dibuat susulan penstrukturan semula pengurusan pasukan kebangsaan.
Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula ini, ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu akan dilantik untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027 mulai tahun depan.
“Saya ingin memaklumkan bahawa Piala ASEAN 2024 akan menjadi tugasan terakhir saya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
“Berikutan itu, saya dan barisan kejurulatihan akan menamatkan perkhidmatan kami bersama skuad Harimau Malaya pada akhir kempen Piala ASEAN 2024.
“Adalah satu yang menyeronokkan untuk meneruskan perjalanan ini bersama-sama kerana kami mengharungi tiga tahun yang menakjubkan di Malaysia yang dipenuhi dengan kenangan yang tidak dapat dilupakan.
“Pasukan kebangsaan akan terus bermain untuk mempertahankan maruah Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, Vicente dilantik sebagai pengendali Harimau Malaya pada Ogos lalu bagi menggantikan Kim Pan Gon yang meletak jawatan.
Sepanjang di bawah kendalian Vicente menyaksikan Malaysia meraih tiga kemenangan, satu seri dan tewas sekali kepada New Zealand.
Mengikut rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kemungkinan akan mengumumkan struktur baharu Harimau Malaya dalam tempoh terdekat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.