Tumpuan :
Sukan

Vicente tinggalkan Harimau Malaya di peringkat kumpulan Piala ASEAN 2024

FOTO: Ihsan FAM

Oleh: Syakirah Zulkifly

KUALA LUMPUR: Perjalanan skuad Harimau Malaya terhenti di peringkat kumpulan A Piala ASEAN 2024 selepas terikat tanpa jaringan berdepan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Malaysia yang turun dengan misi wajib menang manakala Singapura yang hanya memerlukan keputusan seri menampilkan aksi sengit sejak awal permainan.

Skuad kendalian Pau Marti Vicente terlepas peluang keemasan menjaringkan gol pada minit ke-41 selepas lambungan Haqimi Azim Rosli gagal ditanduk kemas Daniel Ting di hadapan pintu gol Singapura.

Penguasaan bola yang lebih banyak dimiliki Malaysia dengan sekurang-kurangnya tiga percubaan tepat bagaimanapun tidak mengubah keputusan dengan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia dan Singapura melakukan pertukaran pemain dimana Vicente memasukkan lima tenaga baharu bagi merobek gawang lawan.

FOTO: Ihsan FAM

Bagaimanapun, usaha itu masih gagal untuk diterjemahkan dalam bentuk jaringan, menyaksikan kedua-dua pasukan akhirnya berkongsi satu mata selepas wisel penamat dibunyikan.

Keputusan seri dan satu mata yang diraih itu memastikan Skuad Singa mengiringi Thailand ke separuh akhir hasil kelebihan dua mata berbanding Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini