comscore
Tumpuan :
Sukan

Vicente miliki kuasa tentukan nasib Wan Kuzain

Wan Kuzain Wan Kamal (kiri) dan Pau Marti Vicente.
Vicente miliki kuasa tentukan nasib Wan Kuzain

KUALA LUMPUR: Nasib pemain berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal sama ada boleh menyertai skuad Harimau Malaya ataupun tidak bergantung kepada pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman menegaskan pemain yang beraksi bersama St Louis City SC 2 itu tidak akan mendapat sebarang ‘keistimewaan’ meskipun memiliki pengalaman beraksi di luar negara.

Noor Azman turut memaklumkan Wan Kuzain tidak berdepan sebarang masalah membabitkan dokumentasi untuk menyarung pasukan kebangsaan, namun keputusan untuk menggunakan khidmat pemain 26 tahun itu terletak sepenuhnya di tangan Vicente.

“Saya dimaklumkan dia mengalami kecederaan sebelum ini menyebabkan dia tidak boleh menyertai skuad Harimau Malaya membabitkan perlawanan persahabatan.

“Jika ada keperluan dan Vicente melihat Wan Kuzain mampu menguatkan barisan Harimau Malaya, mungkin dia akan dipanggil.

“Kita lihat nanti kerana segala keputusan untuk memanggil dia (Wan Kuzain) terletak di tangan Vicente,” katanya.

Sebelum ini, Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengesahkan pemain berdarah Malaysia itu boleh memperkasa skuad negara selepas ini.

“Sepatutnya Wan Kuzain sudah menyertai kita kali ini. Beliau sudah pun beberapa kali menghubungi saya, tetapi ketika ini beliau sedang cedera.

“Beliau memberitahu saya bahawa selepas kecederaannya pulih, beliau siap sedia secepat mungkin untuk membantu Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Noor Azman mengakui pihaknya tidak menolak kemungkinan Wan Kuzain boleh tampil bersama skuad kebangsaan pada aksi persahabatan menentang India, bulan depan.

“Jika kecederaan pulih sepenuhnya dan Vicente memerlukan khidmat Wan Kuzain, mungkin dia akan menyertai skuad Harimau Malaya bulan depan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini