comscore
Tumpuan :
Sukan

Uzbekistan buru rekod unik di Doha

Abdurauf Buriev meraikan kejaaan pasukannya ke final Piala AFC B-23 selepas mengalahkan Indonesia pada aksi separuh akhir di Stadium Abdullah Bin Khalifa, Doha. FOTO: AFC

DOHA: Selepas melaksanakan misi utama layak buat kali pertama ke Sukan Olimpik, Uzbekistan kini tampak lebih berkeyakinan untuk meneruskan kecemerlangan di Doha menjelang aksi final Piala Asia B-23  menentang Jepun Jumaat ini.

Selain memburu kejuaraan kali kedua selepas melakukannya pada 2018, Uzbekistan mahu gelaran itu diiringi rekod unik, tampil pasukan yang tidak bolos sepanjang kejohanan.

Selepas memulakan cabaran Kumpulan D bermula 17 April lalu dengan menundukkan Malaysia 2-0, skuad bimbingan Timur Kapadze itu mengesahkan gelaran juara kumpulan, mengalahkan Kuwait 5-0 dan Vietnam 3-0.

Rekod tanpa bolos itu diteruskan dengan mengenepikan juara bertahan Arab Saudi 2-0 pada suku akhir dan semalam mengalahkan Indonesia pada separuh akhir untuk mengesahkan tempat ke aksi final.

Selain elemen persefahaman satu pasukan mempertahankan kubu dan mencipta 14 jaringan selepas lima perlawanan, kunci kejayaan Uzbekistan turut terarah kepada kemahiran individu yang diperagakan pemain tengah bertahan mereka, Abdurauf Buriev.

Sepanjang beraksi di Doha, pemain kelab Olympic Tashkent  berusia 21 tahun itu sudah dua kali dipilih selaku ‘Man Of The Match’, ketika menentang Malaysia pada saingan kumpulan dan separuh akhir bertemu Indonesia.

“Satu pencapaian besar dalam kerjaya saya apabila layak beraksi di Sukan Olimpik, tetapi saya belum boleh untuk menggambarkan keseluruhan perasaan saya kerana masih ada satu lagi perlawanan,” kata Buriev.

Sebagai rekod selepas bergelar juara pada 2018 mengalahkan Vietnam 2-1 di China, Uzbekistan mengulangi kecemerlangan mara ke final empat tahun kemudian di arena sendiri namun tumpas 0-2 di tangan Arab Saudi.

“Kami tujukan kejayaan malam ini (mara ke perlawanan akhir) kepada penyokong dan rakyat kami,

“Kami akan lakukan yang terbaik untuk menghadapi aksi final nanti,” ujar Buriev.

Perlawanan akhir Piala Asia B-23 dijadual berlangsung di Stadium Jassim Bin Hamad, Doha, Jumaat ini pada jam 11,30 malam waktu Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini