comscore
Tumpuan :
Sukan

Usahawan tempatan serius mahu ambil alih Kelantan FC

Usahawan muda, Erfan Akif atau Erfan Lee Ruslan (kanan) bersama pengurusnya, Ezz Aisar (kiri). – Foto NSTP

KOTA BHARU: Usahawan dari Kota Bharu, Erfan Akif atau Erfan Lee Ruslan serius mahu mengambil alih Kelantan FC sekiranya pemilik, Norizam Tukiman benar-benar mahu melepaskan kelab itu.

Erfan berkata, dia sudah bersedia fizikal dan mental bagi memulihkan The Red Warriors (TRW) seperti zaman kegemilangannya pada tahun 2012.

Menurut Erfan, tujuan utama dia mahu menjadi pemilik TRW kerana minat mendalam kepada pasukan selain sokongan sebagai anak jati Kelantan.

“Ini bukan gimik pemasaran (untuk perniagaan) kerana saya sudah ada perniagaan yang stabil kewangan yang kukuh.

“Saya sudah kaji dua tahun, setiap hari, jadi keputusan ambil alih Kelantan FC bukan dibuat terburu-buru atau tempoh singkat,” kata Erfan ketika ditemui di Kota Bharu.

Erfan, yang juga pemilik Erfan Gym And Fitness berkata, dia juga sedia maklum kos besar industri bola sepak selain bersedia membeli Kelantan walaupun harganya mencecah RM10 juta.

Katanya, Norizam sendiri yakin dengan keadaan kewangan beliau yang pengalaman sebagai penaja TRW sejak tahun 2021 (ketika TRW di bawah Zamsaham) dengan perkhidmatan ratusan ringgit semusim.

“Saya terbuka untuk membeli Kelantan samada sebagai pemilik penuh atau jika Zamsaham mahu kekal sebagai pemilik, saya juga sedia jadi penaja utama atau pemegang saham terbesar.

“Ini tertakluk pada situasi menang-menang, jika saya lihat sesuai, saya terbuka dengan apa juga rancangan beliau (Zamsaham),” katanya.

Erfan yang turut menjalankan perniagaan perlombongan emas dan minuman kecergasan juga tidak gentar bersaing dengan individu lain seperti Datuk Seri Vida atau taikun perniagaan, Tan Sri Vincent Tan yang turut dikaitkan untuk menjadi pemilik pasukan Kijang Merah.

“Saya letak hati di depan, bukan sebab perniagaan atau duit, malah hasrat utama saya mahu TRW kembali menyinar, kalaupun tidak dapat treble seperti tahun 2012, dapat kedudukan 10 teratas pun okay berbanding tercorot musim ini,” katanya.

Erfan yang lebih selesa merahsiakan identitinya berkata, dia menyerahkan kepada pengurusnya, Ezz Aisar untuk menjadi ‘wajah’ beliau kerana yang penting adalah pelaksanaan gerak kerja dan bukannya nama individu.

Erfan bagaimanapun memaklumkan Zamsaham belum memberikan sebarang balasan berhubung surat yang dihantar pihaknya.

Usahawan muda itu berkata, selain kedudukan kewangan yang kukuh, dia turut mendapat pandangan daripada bekas pemain yang bermain pada zaman kegemilangan TRW selain beberapa individu berpengalaman dalam industri bola sepak bagi menambah keyakinan untuk menerajui kelab pantai timur itu.

“Soal hutang atau masalah denda dan sebagainya akan dibincangkan bersama pengurusan jika saya sudah sah menjadi pemilik TRW,” katanya.

Loading...
Terkini