comscore
Tumpuan :
Sukan

Usah dibuai mimpi, perjuangan negara belum selesai

Pasukan sepak takraw lelaki negara meraikan kemenangan berganda selepas menewaskan Thailand pada final regu dan double Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa.

KUALA LUMPUR: Usah dibuai mimpi!

Itulah ingatan yang diberikan kepada skuad sepak takraw negara susulan kejayaan merangkul dua kejuaraan awal pada saingan Piala Dunia 2024, malam tadi.

Sebaliknya, cabaran lebih besar menanti skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun apabila memulakan saingan dalam acara berpasukan yang dianggap ibu segala emas pada kejohanan berprestij itu.

Kapten skuad negara, Farhan Adam berkata, dia dan rakan sepasukan belum boleh meraikan kejayaan mengungguli acara double dan regu, sebaliknya perlu kekal fokus bagi menghadapi saingan berpasukan.

“Kami perlu tangguhkan dahulu untuk meraikan kejayaan malam ini. Perjuangan kami masih belum selesai kerana ada acara berpasukan yang juga acara utama dalam kejohanan kali ini.

“Namun, kemenangan malam ini sudah pastinya meningkatkan keyakinan dan motivasi kami untuk menghadapi acara berpasukan,” katanya.

Malaysia akan membuka tirai saingan acara berpasukan menentang Brunei pada aksi pertama Kumpulan C, petang esok.

Terdahulu, skuad negara mencipta sejarah apabila berjaya menumbangkan Thailand untuk menjuarai acara double dan regu.

Gandingan Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Mohd Nordin cemerlang apabila mengatasi Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut 17-16, 15-13 pada aksi final acara double.

Gandingan Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Mohd Nordin menjuarai acara double semalam.

Malaysia kemudiannya meraih gelaran berganda selepas turut menjuarai acara regu yang dibarisi Farhan, Syahir Rosdi, Azlan Alias (Haziq Hairul Nizam).

Skuad negara mempamerkan prestasi menakjubkan untuk menumbangkan regu Thailand, Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena (Siriwat Sakha) 15-8, 15-12.

Skuad yang dibarisi Farhan Adam, Syahir Rosdi, Azlan Alias (Haziq Hairul Nizam) menjuarai acara regu semalam. – FOTO NSTP

Pingat emas dalam acara double dan regu itu adalah yang pertama buat Malaysia dalam saingan Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 2011.

Bagi acara double ia adalah kejuaraan pertama Malaysia dalam mana-mana kejohanan manakala kali terakhir Malaysia menewaskan Thailand dalam acara regu ketika Siri Super ISTAF 2015 di Melaka.

“Ini adalah satu kenangan manis dalam kerjaya saya apatah lagi kali ini beraksi di laman sendiri.

“Ini adalah detik yang sukar untuk dapat apabila kita menang dengan menewaskan Thailand. Ini membuktikan yang kita sememangnya boleh menewaskan Thailand,” kata Farhan yang sudah 17 tahun bersama skuad kebangsaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini