Tumpuan :
Sukan

Universiade Chengdu dijadual 28 Julai ini

FOTO: Sukan IPT / Facebook

KUALA LUMPUR: Spekulasi mengenai status Sukan Universiti Dunia atau Universiade Chengdu yang tertangguh akibat COVID-19 sejak tahun 2021 berakhir apabila ia akan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos tahun ini.

Perkembangan itu dimaklumkan Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Datuk Dr Pekan Ramli yang mewakili Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mesyuarat ketua delegasi di Chengdu, China bermula semalam hingga esok.

Pekan menjelaskan tuan rumah membuktikan mereka sudah benar-benar bersedia dengan penyediaan venue pertandingan yang kebanyakannya sudah lengkap dan canggih.

Beliau berkata, walaupun upacara pembukaan temasya itu akan berlangsung Julai nanti, kebanyakan venue pertandingan seakan pertandingan boleh dimulakan esok.

“Begitulah gambaran yang dilihat hasil lawatan dan taklimat di sebahagian venue yang diberikan kepada ketua delegasi negara peserta Universiade Chengdu 2021 petang tadi.

“Mungkin disebabkan acara sudah tertangguh selama dua tahun, tetapi yang menakjubkan komitmen dan semangat tinggi rakyat Chengdu dan China tetap jitu dan tidak berubah.

“Chengdu juga dikenali sebagai ‘Country of Heaven’, dan dipercayai segalanya yang dihajatkan boleh ditunaikan di sini sesuai dengan ‘tagline’ ‘Make Dreams Comes True’,” katanya.

Loading...
Terkini