KUALA LUMPUR: Kontinjen Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendominasi acara catur selepas membolot tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 di Tanjung Malim.
Pencapaian itu menyaksikan skuad catur universiti berkenaan yang dibarisi kombinasi pemain lama dan baharu dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi acara catur SUKIPT 2022.
Penguasaan UiTM terserlah menerusi kategori individu wanita apabila semua tiga pingat disapu bersih oleh atlet mereka menerusi Puteri Munajjah AZ Zahraa Azhar (emas), Nur Najiha Azman Hisham (perak) dan Puteri Rifqah Fahada Azhar (gangsa).
Trio itu turut menambah satu lagi pingat emas buat kontinjen UiTM apabila menjadi juara bagi acara berpasukan wanita dan kecemerlangan sama diteruskan pasukan lelaki yang turut merangkul pingat emas dalam acara berpasukan lelaki.
“Saya bersyukur dengan kemenangan pasukan UiTM kerana pasukan kami berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata pengurus pasukan catur UiTM, Hamidah Abd Rahman.
Sebagai rekod, UiTM ketika ini menghuni tempat kedua keseluruhan menerusi pungutan 17 pingat emas, 15 pingat perak dan 33 pingat gangsa. – BERITA HARIAN