Tumpuan :
Sukan

UCL: Man City tersingkir gara-gara hatrik Mbappe

Penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe (kiri) meraikan gol ketiga jaringannya ketika berdepan Manchester City dalam aksi kedua playoff Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Santiago Bernabeu. – Foto: Reuters

MADRID: Kylian Mbappe meledak hatrik untuk juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah, Real Madrid menewaskan Manchester City 3-1 dalam aksi kedua playoff Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Kemenangan itu sekali gus membantu skuad Los Blancos mara ke peringkat 16 terakhir menerusi agregat 6-3.

Skuad kendalian Pep Guardiola mengalami penyingkiran awal yang menyakitkan apabila gagal memberi saingan terbaik kepada juara 15 kali itu di ibu negara Sepanyol dan hanya meraih gol tunggal menerusi Nico Gonzalez pada masa kecederaan.

Bintang Perancis, Mbappe membuka tirai jaringan seawal minit keempat dan menjaringkan gol kedua menerusi permainan menarik di bahagian serangan.

Mbappe yang bermula perlahan dalam membentuk prestasi terbaiknya di Madrid kemudian melengkapkan hatrik pada babak kedua dengan rembatan dari tepi kotak penalti untuk mengumpul tujuh gol bagi pertandingan musim ini dalam 10 penampilan.

“Kami mahu menang dan layak ke peringkat seterusnya kerana bagi kami, Real Madrid memang patut berada di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara,” kata Mbappe kepada Movistar.

“Kami tahu bahawa kami kuat di laman sendiri dan kami bermain sebagai satu pasukan dengan corak permainan terbaik. Kami membuat peminat Madrid amat gembira.”

Mbappe sudah menjaringkan 28 gol musim ini, dengan 18 gol dalam 18 perlawanan terakhirnya untuk semua pertandingan.

“Saya berkata (sebelum ini), saya tidak datang ke Real Madrid untuk bermain dengan teruk,” kata Mbappe.

“Menjadikan impian saya menjadi kenyataan adalah satu aspek, namun saya mahu bermain dengan baik di sini, menandakan satu era dan mencipta sejarah di Real Madrid.” – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini