Tumpuan :
Sukan

UCL: Liverpool kekal rekod sempurna, benam Real Madrid di Anfield

Pemain Liverpool, Cody Gakpo (tengah) melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol kedua menentang Real Madrid pada aksi Liga Juara-Juara UEFA di Anfield, Liverpool, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

LIVERPOOL, England: Alexis Mac Allister dan Cody Gakpo menyumbat gol pada babak kedua apabila The Reds mengekalkan rekod sempurna untuk kembali merampas tangga teratas Liga Juara-Juara (UCL) daripada Inter Milan sebentar tadi.

Paling sensasi, sepakan penalti Kylian Mbappe diselamatkan penjaga gol, Caoimhin Kelleher ketika Liverpool menundukkan Real Madrid 2-0 di Anfield sekaligus mencetus kekalahan ketiga dalam lima perlawanan buat juara bertahan itu.

Mohamed Salah turut menyaksikan sepakan penaltinya tersasar, namun ia tidak begitu menjejaskan ketika Liverpool meraih kemenangan ke-17 dalam 19 perlawanan pertama kendalian Arne Slot.

Slot sudah meraih apa yang gagal dilakukan Jurgen Klopp sebagai bos Liverpool dengan membenam kelab gergasi Sepanyol itu.

Liverpool ada dendam yang perlu dibalas dengan Madrid, yang tidak kalah dalam lapan perlawanan terakhir antara kedua-dua pasukan, termasuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang anak buah Klopp pada tahun 2018 dan 2022.

Pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister (dua dari kanan) meledak masuk gol pembukaan menentang Real Madrid pada aksi Liga Juara-Juara UEFA di Anfield, Liverpool, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Kekalahan itu menyebabkan pasukan kendalian Carlo Ancelotti merudum ke tangga ke-24 dalam kedudukan liga 36 pasukan.

Hanya 24 pasukan teratas layak ke peringkat kalah mati dengan lapan teratas layak secara automatik ke pusingan 16 terakhir.

Liverpool berada dalam kedudukan terbaik untuk layak dan keyakinan memuncak buat pasukan yang turut mendahului lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris yang terbukti dengan aksi berbisa di depan penyokong Anfield. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini