
MUNICH: Penyerang Bayern Munich, Harry Kane menjaringkan satu gol di setiap babak untuk membantu pasukannya menewaskan Bayer Leverkusen 3-0 pada aksi pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Bayern meraih kemenangan pertama mereka dalam tujuh perlawanan terakhir menentang Leverkusen kendalian Xabi Alonso dan mengutip bekalan selesa untuk aksi timbal balik minggu depan.
Bagi Leverkusen yang berada di tangga kedua Bundesliga di belakang Bayern, ia malam mengecewakan yang dipenuhi kesilapan dan pertahanan longgar dalam persembahan terburuk mereka musim ini.
“Ia akan mengambil masa untuk menilai perlawanan ini. Banyak yang tidak menjadi buat kami, tetapi ia silap kami sendiri. Kami tidak mengawal dengan baik dan melakukan banyak kesilapan.
“Tetapi ia belum berakhir sepenuhnya. Perkara paling gila pernah berlaku dalam bola sepak dan kami akan berjuang untuk mengubahnya minggu depan,” kata Alonso.
Sementara itu pengendali Bayern, Vincent Kompany berpuas hati dengan persembahan anak buahnya tetapi menganggap misi mereka belum selesai.
“Kami melakukan banyak perkara yang betul, jika tidak anda tidak akan dapat menewaskan pasukan seperti itu.
“Kami perlu mengulangi apa yang kami lakukan dengan baik hari ini pada minggu depan. Ini baru babak pertama, kami perlu bertemu mereka lagi dan memberikan persembahan sama.
“Ia perlawanan paling penting musim ini, tetapi saya harap kami akan berdepan lebih banyak perlawanan penting,” kata Kompany.
Pendahulu liga itu, yang disingkirkan oleh Leverkusen dalam saingan Piala Jerman, mendahului permainan pada minit kesembilan menerusi tandukan padu Kane.
Gol ke-30 Kane dalam semua pertandingan itu menamatkan kemarau jaringan empat perlawanannya.
Penjaga gol Leverkusen, Matej Kovar menghadiahkan tuan rumah gol kedua pada minit ke-54 apabila gagal menangkap kemas bola hantaran lintang Joshua Kimmich dan mudah ditolak masuk Jamal Musiala.
Situasi bertambah buruk buat pelawat di Allianz Arena apabila Nordi Mukiele dibuang padang selepas dilayangkan kad kuning kedua dan Kane menyempurnakan penalti minit ke-75 untuk gol keduanya.
Malam hampir sempurna Bayern dibayangi kecederaan penjaga golnya, Manuel Neuer yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-58.
Pemenang perlawanan ini akan bertemu Feyenoord atau Inter Milan di suku akhir. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.