SEVILLE, Sepanyol: Gabriel Jesus menyumbat satu gol menakjubkan dan mencipta satu lagi bagi membantu Arsenal meraih kemenangan penting 2-1 ke atas Sevilla pada Liga Juara-Juara awal pagi tadi, menebus kekalahan mengejut mereka di tangan Lens awal bulan ini.
Penyerang Brazil itu mencipta gol pembukaan jaringan Gabriel Martinelli dengan berpusing sebelum mengumpan dan kemudian menggandakan kelebihan Gunners menerusi satu penyudah memukau ketika pasukan kendalian Mikel Arteta melonjak ke tangga teratas Kumpulan B.
Arsenal melonjak dengan enam mata, satu mata di depan Lens, yang seri 1-1 di laman sendiri berdepan PSV Eindhoven, yang terikat dua mata bersama Sevilla.
Arsenal ternyata lebih tajam di bahagian serangan dan kualiti Jesus menjadi perbezaan dalam satu perlawanan menghiburkan di Andalusia – dia sudah menjaringkan satu gol dalam setiap perlawanan pasukannya pada pertandingan itu.
“Pasukan mengharapkan pemain sebegini untuk memenangi perlawanan, kami perlukan pemain sebegini. Untuk hadir ke sini dan menang, satu pujian buat semua pemain.” kata Arteta kepada wartawan.
Namun, Jesus terhincut-hincut sebelum perlawanan tamat dengan Arteta menyatakan dia mengalami kecederaan hamstring.
“Dia mengalami kecederaan di hamstring dan dia terpaksa dikeluarkan, ia membimbangkan saya,” kata jurulatih itu.
Sementara itu di Manchester, England, Andre Onana dan Harry Maguire muncul wira yang tidak disangka-sangka ketika Manchester United menghidupkan kembali kempen Liga Juara-Juara mereka dengan mengalahkan FC Copenhagen 1-0 di Old Trafford.
Pertahanan tengah yang kerap diejek, Maguire menanduk masuk gol tunggal 18 minit sebelum tamat, manakala Onana menyelamatkan sepakan penalti Jordan Larsson pada minit terakhir.
Kelab gergasi England itu tumpas dua perlawanan pertama peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah, namun kembali menghidupkan peluang untuk layak ke pusingan 16 terakhir menerusi kemenangan yang amat diperlukan itu.
Pemain antarabangsa England itu tidak mendapat kepercayaan Ten Hag pada musim pertama kendaliannya, namun menggunakan sepenuhnya masalah kecederaan di benteng pertahanan untuk kembali ke dalam kesebelasan utama.
Maguire berada dalam kotak penalti untuk menyambut hantaran silang Christian Eriksen dengan tandukan padu pada minit ke-72.
Mereka hampir dihukum apabila Scott McTominay dipersalahkan kerana terjahan keras ke atas Mohammed Elyounoussi pada masa kecederaan.
Larsson, anak bekas penyerang United, Henrik Larsson, tampil untuk mengambil sepakan penalti tetapi percubaan padunya ditampan Onana sekali gus mencetus kegembiraan.
Kemenangan itu membolehkan United melonjak ke tangga ketiga Kumpulan A di depan Copenhagen dan satu mata di belakang Galatasaray.- AGENSI