
PARIS: Pemain gantian Liverpool, Harvey Elliott menjaringkan gol kemenangan di akhir permainan untuk mengatasi Paris Saint-Germain 1-0 dalam aksi pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Parc des Princes.
Elliott memastikan kemenangan buat skuad kendalian Arne Slot pada minit ke-87 hasil bantuan seorang lagi pemain gantian, Darwin Nunez.
PSG lebih mendominasi permainan dan beberapa peluang tuan rumah diselamatkan penjaga gol Liverpool, Alisson sebelum pelawat menjaringkan gol dengan percubaan tepat pertama mereka.
PSG kendalian Luis Enrique, yang menang 18 dan seri dua dalam 20 perlawanan terakhir mereka, mensia-siakan deretan peluang untuk mengutip bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di Anfield pada Selasa ini.
“Pujian kepada pasukan. Anda dapat lihat mereka (PSG) sedikit keletihan di akhir permainan. Mereka mencipta banyak peluang… akhirnya saya yang menyempurnakannya,” kata Elliott.
Sementara itu Alisson berkata, ia adalah persembahan terbaik dalam hidupnya.
“Kami perlu bersedia untuk menderita. Kami bekerja keras. Kami memberikan terlalu banyak peluang. Dan akhirnya Harvey masuk menjaringkan gol. Ia sukar dipercayai. Cerita hebat. Malam hebat buat kami,” kata Alisson. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.