Tumpuan :
Sukan

UCL: City berputih mata, dahului 3-0 sebelum seri dengan Feyenoord

Penyerang Manchester City, Erling Haaland (tengah) meraikan gol ketiga bersama Phil Foden (kiri) dan Matheus Nunes pada aksi Liga Juara-Juara menentang Feyenoord di Stadium Etihad, Manchester, awal pagi tadi. Kedua-dua pasukan seri 3-3. – Foto REUTERS

MANCHESTER, England: Manchester City mensia-siakan pendahuluan 3-0 sebelum seri 3-3 dengan Feyenoord pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi sekali gus melebarkan rentetan tanpa menang mereka kepada enam perlawanan.

Juara Inggeris itu berjaya mengakhiri catatan lima kekalahan berturut-turut tetapi tidak berjaya meningkatkan keyakinan mereka menjelang kunjungan ke kelab pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool Ahad ini dengan dibolosi tiga kali dalam 15 minit terakhir.

Pep Guardiola mengakui skuad bintangnya “rapuh” dan kurang keyakinan selepas persembahan terburuk dalam karier pengurusannya.

Dua gol daripada Erling Haaland, selain satu gol Ilkay Gundogan yang terbias, kelihatan mampu memulihkan semula keyakinan City.

Namun kelemahan benteng pertahanan yang menjadi punca utama kemerosotan mereka dalam beberapa minggu terakhir terdedah pada hujung perlawanan.

Anis Hadj Moussa, Santiago Gimenez dan David Hancko membalas untuk meraih mata berharga buat kelab gergasi Belanda itu.

 

Pemain Feyenoord, Anis Hadj Moussa (kiri) mengatasi penjaga gol Manchester City, Ederson bagi memulakan kebangkitan mereka pada aksi Liga Juara-Juara UEFA di Stadium Etihad, Manchester, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

“Kami melepaskan banyak gol kerana kami tidak stabil,” kata Guardiola.

“Kami kalah banyak perlawanan akhir-akhir ini. Kami rapuh dan sudah tentu kami perlukan kemenangan.

“Perlawanan ini (ketika 3-0) bagus bagi keyakinan, bermain pada tahap yang bagus dan kali pertama sesuatu berlaku kami ada masalah.”

Keputusan seri menyebabkan City perlu bekerja keras untuk layak ke peringkat kalah mati dengan kunjungan ke Juventus dan Paris Saint-Germain menanti mereka dalam Liga Juara-Juara selepas ini.

Hanya lapan pasukan teratas layak secara automatik ke pusingan 16 terakhir dengan tempat dalam kelompok 24 teratas daripada 36 pasukan cukup untuk layak ke pusingan playoff.

City merudum ke tangga ke-15 dengan lapan mata daripada lima perlawanan, hanya satu mata di atas Feyenoord yang menghuni tangga ke-20. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini