KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dijangka kembali beraksi pada awal tahun hadapan berikutan semakin menunjukkan perubahan positif di dalam latihan.
Jurulatih perseorangan lelaki negara, K Yogendran berkata, pemain muda itu semakin bersemangat turun ke gelanggang dan beliau akan membantu Tze Yong mendapatkan kembali keyakinannya yang hilang akibat kecederaan sebelum ini.
Jelasnya, perkara itu amat penting agar dia tidak menyertai kejohanan yang akan datang dalam situasi tidak benar-benar bersedia.
“Kita ada bincang dengan Tze Yong dan nak dia bersedia daripada pelbagai aspek seperti kekuatan mental dan fizikal. Kita tak mahu dia pergi ke kejohanan dalam keadaan 50-50 selepas itu cedera semula.
“Dia adalah prospek Olimpik Los Angeles 2028 nanti. Jadi kenapa kita nak paksa sekarang dan selepas itu dia kembali cedera lagi. Itu amat merugikan.
“Kalau lihat keadaan dia sekarang, boleh dikatakan sudah 30 peratus semakin baik dan dia berlatih setiap hari. Saya lihat ada peningkatan dari semasa ke semasa dan kita pun tingkatkan intensiti latihannya sedikit demi sedikit,” katanya.
Pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham itu sudah menjalani pembedahan dua kali pada tahun ini selepas dirinya mengalami kecederaan tulang belakang.
Kecederaan yang dialami itu juga menyebabkan dirinya terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di pentas Olimpik Paris 2024 apabila tidak boleh beraksi dalam kejohanan penting sekali gus rankingnya semakin jatuh sehingga hilang slot automatik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.