KUALA LUMPUR: Status peryertaan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong pada Terbuka Malaysia 2025 masih menjadi tanda-tanya berikutan pemain berkenaan belum berada di prestasi terbaiknya.
Menurut jurulatih perseorangan lelaki negara, K Yogendran, dia tidak mahu membuat keputusan terburu-buru sekiranya pemain itu belum benar-benar cergas sepenuhnya.
Tze Yong ketika ini berada dalam fasa untuk kembali mendapatkan keyakinan serta corak permainan sebelum menyertai kejohanan kompetitif seperti Terbuka Malaysia dari 7 hingga 12 Januari depan.
“Dia sudah kembali ke rutin harian iaitu berlatih tetapi Tze Yong masih memerlukan masa untuk mendapatkan semula semua itu dan kita tidak boleh memaksa dia untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan.
“Jika dirinya belum cergas sepenuhnya tapi tetap turun beraksi, risiko untuk mengalami kecederaan berulang juga tinggi dan itu akan merugikan,” kata Yogendran.
Tahun ini tampak tidak begitu memihak kepada Tze Yong apabila hanya sempat beraksi dalam dua kejohanan iaitu Terbuka Malaysia pada Januari lalu dan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam pada Februari.
Dia yang mengalami kecederaan belakang menjalani dua pembedahan pada tahun ini sekali gus menyukarkan dirinya untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.