KUALA LUMPUR: Pengaruh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam dunia bola sepak tidak perlu dipertikaikan lagi.
Terbaharu pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengadakan pertemuan dengan tiga pemimpin bola sepak dari luar negara, malam tadi.
Antara individu berkenaan termasuk Pengerusi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia, Erick Thohir dan pemilik kelab Valencia, Peter Lim.
Tunku Mahkota Ismail menerusi laman Instagram miliknya memaklumkan pertemuan itu turut membincangkan mengenai bola sepak dan rancangan masa depan.
“Bertemu dengan Pengerusi Indonesia FA Erick Thohir, pemilik Persib Bandung Glenn Sugita dan pemilik Valencia Peter Lim malam tadi.
“Kami membincangkan mengenai bola sepak dan rancangan masa depan yang positif yang akan menjadi pengubah permainan. Masa yang menarik untuk bola sepak ASEAN,” tulis Tunku Mahkota Ismail.
Sebelum ini, Erick dilaporkan mempelawa dan mengalu-alukan Tunku Mahkota Ismail untuk membuat pelaburan dalam bola sepak di Indonesia.
Ia selepas Tunku Mahkota Ismail memuji Erick dengan menganggap beliau memiliki kemampuan kewangan, pengetahuan dan hubungan peringkat antarabangsa dalam bola sepak.
Erick turut menjelaskan bahawa tidak salah sekiranya terdapat pemilik kelab mahu membuat pelaburan dalam kelab lain di luar negara.
“Tentu itu pendapat dari luar negara. Tetapi jika dari Johor ingin melabur dalam bola sepak di Indonesia, kami mengalu-alukannya. Sebab Liga 1, Liga 2, akan menjadi liga yang sangat profesional,” kata Erick.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.