Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima kunjungan bekas juara dunia Ultimate Fighting Champion (UFC), Khabib Nurmagomedov hari ini.
Menerusi satu hantaran di laman media sosial HRH Crown Prince of Johor, baginda berkongsi gambar pertemuan itiu.
Baginda bertitah, antara topik pertemuan itu membincangkan program pembangunan belia dan cadangan membuka gimnasium latihan rasmi Khabib di negeri itu.
“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap Khabib Nurmagomedov, bekas Juara Dunia UFC Kategori Lightweight pada hari ini, 1 Oktober 2024.
“Antara topik perbincangan adalah mengenai program pembangunan belia dan cadangan membuka gimnasium latihan rasmi Khabib di negeri Johor. Allah Peliharakan Sultan,” titahnya menerusi hantaran itu.
Terdahulu, lagenda UFC itu tiba di Malaysia menghadiri Program Khabib Nurmagomedov Live in Malaysia 2024 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Turut hadir dalam program itu jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali sebagai panel undangan dan Alif Satar sebagai moderator.
Beliau kemudian bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana membincangkan isu berkaitan hal ehwal Islam, pembangunan ummah dan Palestin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa