Tumpuan :
Sukan

Tunggakan gaji pemain KL City belum selesai – Josue

Paulo Josue (kanan) dakwa isu tunggakan gaji babit pemain KL City belum selesai.


KUALA LUMPUR: Pasukan Liga Super boleh dikatakan semakin tenat dengan terbaharu barisan pemain Kuala Lumpur City (KL City) mendedahkan tunggakan gaji mereka pada tahun lalu sehingga kini masih belum diselesaikan.

Lebih malang lagi, walaupun dijanjikan oleh kepimpinan baharu pasukan terbabit namun tunggakan gaji mencecah hingga lapan bulan masih lagi tiada khabar berita sama ada akan diselesaikan atau sebaliknya.

Mendedahkan situasi terbabit, kapten KL City Paulo Josue berkata, sememangnya tunggakan gaji tahun lalu belum dibayar sepenuhnya oleh pengurusan baharu walaupun sudah mengambil alih tampuk kepimpinan sejak beberapa bulan lalu.

Josue yang berasal dari Brazil berkata, perbincangan sudah dilakukan bersama pengurusan baharu KL City termasuk bersama Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar untuk mencari jalan penyelesaian supaya tunggakan terbabit dapat diselesaikan segera.

“Saya boleh katakan tunggakan gaji itu sebenarnya daripada pengurusan lama namun kepimpinan baharu KL City perlu mengambil tanggungjawab dan membayarnya.

“Gaji pada tahun ini tiada masalah cuma pembayaran pada Januari lalu agak lambat. Tunggakan tahun lalu pula hanya dibayar sebulan saja.

“Ada antara pemain menanggung tunggakan gaji sehingga lapan bulan. Saya mengharapkan masalah terbabit dapat diselesaikan segera,” katanya.

Mengikut rekod, Syed Yazid pada Oktober tahun lalu menyatakan pihaknya sudah membuat pembayaran membabitkan tunggakan gaji pemain KL City.

KL City menerusi satu kenyataan media mengumumkan tunggakan gaji satu bulan sudah dilunaskan kepada pemain, jurulatih dan kakitangan, termasuk sebahagian bayaran caruman KWSP, Perkeso, dan LHDN.

Namun, rata-rata barisan pemain KL City masih lagi berhadapan tunggakan gaji antara empat hingga lapan bulan.

Loading...
Terkini