Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
BUKIT KIARA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkaitan amalan rasuah yang dibabitkan dengan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata ia berada di luar pengetahuannya selain menyifatkan perkara berkenaan tidak benar.
“Saya pun tak tahu ada tuduhan seperti itu, saya pun tak terbaca berita pasal tuduhan itu tapi sudah pasti tak adalah, kenapa perlu BAM terima rasuah daripada Datuk Shapawi? Saya rasa ini satu tuduhan yang sangat tidak munasabah lah.” jawab Datuk Kenny yang ditemu ramah pihak media di Akademi Badminton Malaysia hari ini.
Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenainya selain mahu menilai perkembangan semasa terlebih dahulu.
14 Disember lalu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin mengeluarkan kenyataan telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Datuk Ahmad Shapawi dan Pengarah Bahagian Para MSN Mohd Sofian Hamzah yang dianggap menimbulkan elemen rasuah dan melanggar tata etika pemilihan Ahli Jawatankuasa menuju Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM berkenaan.
Ia didakwa berlaku membolehkan Datuk Ahmad Shapawi dicalonkan BAM untuk mencabar Datuk Seri Megat bagi perebutan jawatan Presiden penggal 2025-2029.
Rentetan itu, Datuk Ahmad Shapawi turut membuat laporan polis semalam di Putrajaya yang memohon kenyataan tersebut disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan Malaysia (Akta 574) dan Akta lain yang berkenaan serta sudah berbincang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan saman sivil (Akta Fitnah 1957) di mahkamah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.