Tumpuan :
Sukan

Troussier sasar bawa Vietnam ke Piala Dunia

HANOI: Pengendali dari Perancis, Philippe Troussier menandatangani kontrak tiga tahun untuk membimbing pasukan kebangsaan Vietnam dan menyasarkan membawa Golden Star Warriors mara ke Piala Dunia buat kali pertama.

Pengendali berusia 67 tahun itu yang menggantikan Park Hang Seo pernah mengendalikan dua dozen pasukan kebangsaan dan kelab sepanjang kariernya selaku jurulatih.

Dia membawa Jepun bergelar juara Asia pada 2000 dan turut mengendalikan Jepun ketika Piala Dunia 2002.

Troussier pernah mengendalikan Marseille pada 2004-05 sebelum berhijrah ke China dan Tunisia.

Dia dilantik sebagai jurulatih skuad Bawah 19 tahun (B-19) Vietnam pada 2019.

Vietnam yang kini berada pada kedudukan ke-96 dunia sedang melakukan persiapan untuk aksi PIala Asia 2023 di Qatar.

Namun Troussier sudah meletakkan sasaran yang tinggi.

“Dengan 48 pasukan bertanding pada Piala Dunia 2026, ini akan memberikan peluang kepada Vietnam. Ini adalah sasaran utama yang mahu kita capai,” katanya.

Kontraknya akan bermula bulan depan sehingga Julai 2026. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini