Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus unggul di persada Liga Hoki Malaysia (MHL) mengumpul 12 mata selepas merakam kemenangan keempat dengan mengatasi TNB Thunderbolts.
Anak buah Mohd Harfizi Baharom itu mendahului 2-0 di separuh masa hasil penyudah pukulan sudut penalti Faizal Saari minit (m) 17 dan gol padang Mohd Akhimullah Anuar Esook m-19.
Mohd Fahmi Khalid cuba menyemarakkan kebangkitan pelawat di Stadium Hoki Batu Buruk dengan gol pukulan sudut penalti m-36.
Tetapi barisan kendalian M. Kaliswaran kembali longlai berbaki 20 minit terakhir apabila dibocori empat lagi gol.
Syarman Mat Tee menjaringkan gol padang m-41, disusuli Faizal yang mengumpul jaringan kedua peribadi m-43 sekali lagi hasil pukulan sudut penalti.
Juara liga enam kali itu memperoleh jaringan kelima dari pukulan sudut penalti Mohd Amirul Haniff Mamat m-52 sebelum Akhimullah tampil dengan gol kedua peribadi menerusi jaringan padang m-57 melengkapkan kemenangan 6-1 pasukan.
TNB Thunderbolts pulang membawa kekalahan kedua berturut-turut daripada tiga perlawanan dan berada di posisi kelima dengan tiga mata.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.