PUTRAJAYA: Tidak boleh lagi dilepaskan dengan hanya permohonan maaf sebaliknya satu tindakan tegas perlu dikenakan terhadap kesalahan membabitkan bendera Malaysia.
Itu pandangan tegas disuarakan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin ketika diminta mengulas mengenai kontroversi yang melanda pemain badminton profesional lelaki negara, Lee Zii Jia.
“Apapun alasan kita tidak boleh membiarkannya kalau babitkan isu bendera ini.
“Sudah banyak kali sangat perkara ini terjadi. Mudah sangat, buat salah, lepas itu minta maaf,” kata Datuk Megat yang ditemui di Putrajaya pada Majlis Penyerahan Bendera kepada kontinjen silat ke Kejohanan Dunia di Abu Dhabi.
Berkongsi pengalamannya yang pernah berdepan situasi hampir sama ketika menjadi ketua kontinjen negara di Sukan SEA 2019 di Filipina, Megat, berkata, perkara itu berlaku ketika penyampaian pingat emas pertama membabitkan atlet negara.
“Saya melihat bilangan jalur pada Jalur Gemilang tidak mencukupi. Saya segera meminta penganjur menghentikannya biarpun majlis itu disiar langsung di televisyen.
“Ini bukan salah kita tetapi penganjur, malah bukan bendera terbalik tetapi tidak cukup jalur, namun ia berkaitan maruah sebuah negara.
“Kalau bukan kita pertahankan (warga negara), tidak mungkin orang lain mahu pertahankan bagi pihak kita,” katanya.
Dalam perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen, pemain di ranking lapan dunia itu dilihat memakai jersi dengan Jalur Gemilang yang ditampal di bahagian kiri baju dalam keadaan terbalik.
Susulan insiden itu, penaja jersi Victor Malaysia mengeluarkan permohonan maaf dan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan kesilapan itu tidak berulang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.