KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Lee Chong Wei menenangkan pemain beregu wanita negara, Pearly Tan selepas kekalahan dia dan pasangannya, M Thinaah di final Masters Malaysia, semalam mencuri perhatian warganet.
Pada aksi final yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil itu menyaksikan Pearly-Thinaah yang berjuang habis-habisan terpaksa akur dengan kekalahan di tangan pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na, Lee Soo Hee 20-22, 21-8, 17-21.
Menerusi video yang dikongsikan di Facebook rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam, Datuk Chong Wei dilihat cuba menenangkan Pearly yang mengalirkan air matanya susulan kekalahan berkenaan sambil memeluk pemain berusia 23 tahun itu.
Tindakan Chong Wei itu mendapat mendapat maklum balas positif oleh warganet yang memuji tindakan yang dilakukan bekas pemain nombor satu dunia berkenaan.
Setakat jam 1.30 tengah hari tadi, video berkenaan sudah ditonton 144,000 pelayar internet; 8,300 tanda suka, 412 perkongsian dan mendapat 373 komen.
Sementara itu, legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David turut menitipkan ucapan tahniah dan memberikan kata-kata semangat buat Pearly-Thinaah.
“Kedua-dua wanita ini berjuang dengan seluruh hati dan membuatkan kita berbangga dengan mereka. Terima kasih untuk segala-galanya yang anda berdua telah sumbangkan untuk negara Malaysia,” tulis Datuk Nicol di laman Instagram miliknya.