Oleh Fariz Zolkarnain
KUALA LUMPUR: Penggunaan Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) semakin menjadi kenyataan dalam kancah bola sepak tempatan apabila tiga instruktur dari Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hadir memberi taklimat dan penerangan dalam bengkel selama dua hari di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Tiga instruktur itu adalah Dirk Schlemmer, Michael Bailey dan Bhaveshan Moorghen.
Peserta bengkel ini terdiri daripada kakitangan FAM dan Malaysian Football League (MFL) yang menganggotai pasukan projek VAR Liga Malaysia.
Mereka diberikan penerangan secara terperinci mengenai aspek-aspek yang terkandung dalam Implementation Assistance & Approval Programme (IAAP) bagi pelaksanaan teknologi VAR ini.
Majlis perasmian bengkel ini telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, semalam manakala majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, hari ini.
FAM sebelum ini memaklumkan penggunaan VAR musim ini berkemungkinan akan dilaksanakan dalam saingan Piala Malaysia sebagai permulaan.