comscore
Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] Tidak perlu lagi guna penyodok tolak air

KUALA LUMPUR: Selepas selesai semua kerja-kerja penukaran rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil termasuk proses naik taraf sistem perparitan di padang terbabit yang kini menggunakan rumput Zeon Zoysia, tiada lagi penggunaan penyodok atau kadbod bagi menolak air apabila hujan lebat membasahi padang.

Itu jaminan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pada sidang media selepas perasmian yang disempurnakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail turut berpuas hati dengan rumput baharu itu dan naik taraf yang dilakukan dimana ia menelan kos hampir RM4.7 juta.

“Betul (tak ada lagi takungan air), seperti yang anda saksikan tadi dalam video, sebelum mereka tanam rumput, akan ada penggalian semua dan kos itu agak tinggi untuk kita selesaikan masalah.

“Semalam pun hujan, pihak PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) memantau dan pastikan tidak ada masalah ini,” kata Hannah.

Jelas Hannah lagi, pihaknya akan sentiasa menambah baik dan mengambil maklum pandangan semua pihak, terutamanya maklum balas daripada pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-Gon yang akan menggunakan padang itu dalam saingan Pestabola Merdeka, malam esok.

“Sumbangan dan kurniaan Tunku Ismail adalah untuk rumput tetapi kerja naik taraf infrastruktur diselesaikan oleh PSM. Jadi kita harap esok dapat maklum balas daripada Pan Gon dan pasukan kerana mereka yang guna.

“Kalau bagi saya, (nampak) hijau memang cantik tetapi pemain bola sepak ada komen masing-masing. Yang bagusnya, sekarang kita ada nurseri dengan rumput yang sama,” tambah beliau.

Stadium Nasional Bukit Jalil yang diiktiraf sebagai gelanggang rasmi Harimau Malaya, sebelum ini kerap dikritik susulan rumput yang rosak setiap kali berlaku takungan air akibat hujan.

Loading...
Terkini