Tumpuan :
Sukan

Tiada wakil negara di pentas final esok

Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Kai Wun Tee tewas di tangan gandingan China, Chen Bo Yang-Liu Yi pada perlawan separuh akhir Terbuka Malaysia. FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Tiada wakil negara beraksi di pentas final Terbuka Malaysia, esok selepas beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tewas kepada pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi, sebentar tadi.

Pada penentuan separuh akhir hari ini, pasangan ranking ke-14 dunia itu tunduk 26-24, 16-21, 15-21 dalam tempoh 76 minit.

Lebih mengecewakan, ini adalah kekalahan pertama Wei Chong-Kai Wun menentang pasangan ranking 18 dunia itu yang akan menempah pertemuan final dengan beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, esok.

Dikuatkan dengan sokongan ribuan penyokong di Axiata Arena, Bukit Jalil, Wei Chong-Kai Wun berjaya menampilkan aksi terpuji pada set pertama apabila menyelamatkan empat mata akhir untuk mengikat kedudukan 20-20 sebelum menang 26-24.

Tetapi rentak cemerlang itu gagal diteruskan pada set kedua apabila lebih banyak kesilapan dilakukan yang jelas memberi keyakinan kepada Bo Yan-Liu Yi.

Dan kelebihan itu terus dimanfaatkan lawan pada set penentuan yang menyaksikan mereka menempah tiket final Super 1000 BWF pertama dalam karier.

Untuk Wei Chong-Kai Wun, kemaraan ke separuh akhir menjadi pencapaian terbaik mereka di Terbuka Malaysia dalam empat penampilan selepas tiga kali tersingkir di pusingan pertama bermula edisi 2022, 2023 dan 2024.

Begitupun, kekalahan mereka turut menyaksikan ketiga-tiga wakil Malaysia yang beraksi di separuh akhir hari ini bermula dengan dua pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berakhir duka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini