KUALA LUMPUR: Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) yang belum mempunyai akaun khas diminta supaya segera berbuat demikian bagi membolehkan pengurusan dana dilaksanakan dengan teratur, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Hannah berkata, akaun khas itu penting supaya semua pihak berkepentingan bergerak seiring dengan pelbagai perancangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain memperbaik tadbir urus persatuan dan seterusnya menarik minat penaja.
Beliau berkata, akaun khas itu juga memudahkan penyaluran dana lebih awal, berbanding proses sedia ada yang memerlukan persatuan menggunakan wang mereka terlebih dahulu sebelum mendapatkan tuntutan semula.
“Saya tidak ada tarikh akhir (buka akaun), tapi minta mereka bergerak cepat kerana KBS banyak idea dan benda baharu yang hendak dilaksanakan, tapi perlu bergerak seiring dengan pihak berkepentingan,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sukan sempena Simposium Kemahiran Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan 2024 (SKIL’24) di Puchong, hari ini.
Menjadikan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang kini dalam proses membuka akaun khas sebagai contoh, Hannah berkata, langkah itu mematuhi syarat utama yang ditetapkan KBS untuk menerima peruntukan dana daripada kerajaan.
“Bagus, persatuan faham kehendak kita. Saya percaya mereka ada menghubungi Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai perkara ini kerana jika mereka tidak buka (akaun), sukar untuk salurkan duit,” katanya.
Sebelum ini, sembilan PSK dilaporkan belum membuka akaun khas dan semalam Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dilaporkan akan mempercepat proses berkenaan. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.