comscore
Tumpuan :
Sukan

Tiada lagi perseorangan lelaki negara di Terbuka Denmark

Jun Hao tewas di pusingan pertama Terbuka Denmark, hari ini. FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Tiada lagi wakil pemain perseorangan lelaki negara di Terbuka Denmark selepas Leong Jun Hao tersingkir di pusingan pertama kejohanan berstatus Super 750 itu, hari ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Jyske Bank Arena, Odense, Jun Hao tewas kepada pemain ranking ketiga dunia dari Indonesia, Jonatan Christie, dengan keputusan straight set 16-21, 14-21.

Ini adalah pertembungan kedua antara kedua-dua pemain, dengan rekod pertemuan kini terikat satu sama.

Jun Hao pernah mengalahkan Jonatan di pusingan pertama Terbuka Indonesia pada Jun lalu.

Kekalahan di Odense menyaksikan Jun Hao gagal melangkah ke pusingan kedua untuk tiga kejohanan berturut-turut.

Pemain berusia 25 tahun itu sebelum ini tewas di pusingan pertama Terbuka Artik dan Terbuka China.

Sebelum ini, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, menarik diri daripada Terbuka Denmark akibat kecederaan buku lali yang dialaminya di Terbuka Artik.

Setakat ini, pencapaian terbaik Jun Hao bagi musim 2024 adalah mencapai suku akhir di Terbuka Indonesia, Terbuka Singapura dan Masters Sepanyol.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini