KUALA LUMPUR: Penampilan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia pada saingan badminton Terbuka Malaysia yang dijadual dari 7 hingga 12 Januari depan kini menjadi tanda-tanya.
Team Lee Zii Jia (Team LZJ) dalam satu kenyataan, hari ini mengesahkan pemain nombor lapan dunia itu cedera ligamen buku lali kanan, yang dialaminya ketika aksi terakhir kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China.
Bagaimanapun, kenyataan itu memaklumkan kecederaan dialami Zii Jia dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan selepas rawatan awal dan ujian imbasan yang dilakukan di Hangzhou dan Malaysia.
“Keutamaan kami sekarang adalah memastikan Zii Jia kembali pulih sepenuhnya dan mencapai tahap kecergasan terbaik sebelum dia kembali ke gelanggang,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, program latihan dan perancangan kejohanan buat Zii Jia pada musim depan akan disusun dengan teliti berdasarkan penilaian pasukan dan nasihat perubatan.
Zii Jia berdepan nasib malang apabila dia terpaksa menarik diri ketika set kedua bertemu pemain China, Li Shi Feng dalam aksi terakhir Kumpulan A di Hangzhou.
Dia yang sudah mengesahkan tempat di separuh akhir selepas menewaskan pemain nombor dua dunia, Anders Antonsen dan Chou Tien Chen, memimpin perlawanan 13-4 dalam set kedua selepas memenangi set pertama 22-20.
Bagaimanapun, kecederaan buku lali kanan memaksa dia menarik diri ketika mendahului 15-11.
Keputusan menarik diri itu turut menyaksikan penyertaan Zii Jia di Jelajah Dunia Akhir dibatalkan berdasarkan peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.