comscore
Tumpuan :
Sukan

‘The Speedy Tigers’ sahkan tempat ke separuh akhir

Foto: AHF/Hockey India

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

CHENNAI: Seluruh barisan pemain ‘The Speedy Tigers’ bagai menyahut cabaran yang diberikan ketua jurulatih Arul Selvaraj untuk lupakan kekalahan kepada India dan bangkit untuk aksi menentang Jepun pada kempen Trofi Juara-Juara Asia.

Dan itulah yang dilakukan skuad hoki kebangsaan apabila berjaya merakam kemenangan 3-1 pada aksi keempat peringkat kumpulan berdepan Jepun di Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan di Chennai, India.

Foto: AHF/Hockey India

Malaysia hanya memiliki tempoh lebih kurang 16 jam untuk membuat persediaan selepas perlawanan menentang India semalam.

Dan segalanya berjalan seperti yang dirancang apabila ‘The Speedy Tigers’ berjaya memecah kebuntuan pada minit ke 13, gol menerusi jaringan sudut penalti Najmi Farizal Jazlan.

Jepun cuba untuk bangkit pada suku kedua, namun, kawalan kemas benteng pertahanan negara diketuai Muhd Razie Rahim berjaya mengekang asakan yang cuba dilakukan.

Foto: AHF/Hockey India

Memasuki suku ketiga, Malaysia kembali membalas dan serangan yang dilancarkan pada minit ke 37 membuahkan hasil apabila Ashran Hamsani berjaya menjadikan kedudukan 2-0.

Skuad kendalian Arul Selvaraj jelas bermain lebih tersusun hari ini, berjaya menyekat beberapa percubaan lawan.

Dan ketika permainan berbaki seminit, gol ketiga Malaysia menyusul, kali ini gol dijaringkan oleh Shello Silverius untuk kedudukan 3-0.

Foto: AHF/Hockey India

Bagaimanapun, serangan balas pantas Jepun sebaik permainan bersambung menyaksikan Takuma Niwa berjaya menjaringkan gol saguhati, menutup aksi dengan keputusan 3-1 memihak Malaysia.

Dengan kemenangan ketiga yang diraih, ‘The Speedy Tigers’ sudah boleh menarik nafas lega, mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir.

Namun, masih berbaki satu perlawanan lagi menentang Korea dijadualkan berlangsung pada Rabu nanti.

Loading...
Terkini