Tumpuan :
Sukan

‘The Speedy Tigers’ cipta sejarah mara ke final

Foto: AHF/Hockey India

Oleh : Al Shaiful Nazib Talib

CHENNAI : Skuad hoki kebangsaan cipta sejarah baharu apabila buat julung kalinya berjaya melangkah ke pentas final Trofi Juara-Juara Asia 2023.

Perlawanan peringkat separuh akhir menentang Korea, ‘The Speedy Tigers’ merakam kemenangan cukup meyakinkan, mengatasi lawan yang juga merupakan juara bertahan dengan keputusan 6-2.

Bagaimanapun, aksi sengit disajikan kedua-dua pasukan pada suku pertama dengan Korea paling awal memecah kebuntuan menerusi jaringan Cheon Ji Woo seawal minit kedua.

Namun, hanya seminit diperlukan Malaysia untuk kembali menyamakan kedudukan menerusi gol padang Azrai Aizad Abu Kamal.

Minit ke 9, giliran Malaysia pula di depan selepas pukulan kencang Najmi Farizal Jazlan meletakkan skuad negara mendahului 2-1.

Bagaimanapun, Korea kembali bangkit mengikat kedudukan 2-2 selepas Jang Jong Hyun meledak pukulan sudut penalti pada minit ke 14.

Suku kedua, dominasi mula ditampilkan skuad kendalian Arul Selvaraj apabila Faizal Saari menjadikan kedudukan 3-2 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke 19.

Dan dua minit berselang, gol keempat Malaysia menyusul, Najmi Farizal menjaringkan gol kedua peribadi, kali ini menerusi pukulan sudut penalti.

Bersambung suku ketiga, usaha keras cuba dilakukan Korea untuk kembali bangkit, namun Malaysia terus kental mempertahankan kelebihan.

Suku keempat, Malaysia kembali mempamer aksi cantik selepas Shello Silverius menjaringkan gol kelima menerusi jaringan padang pada minit ke 47.

Dan seminit berselang, Shello menggandakan jaringan peribadi, melengkapkan kemenangan 6-2 Malaysia ke atas Korea.

Kejayaan yang dicipta menyaksikan Malaysia mara ke pentas final buat kali pertama sejak edisi sulung kejohanan pada 2011.

Malaysia bakal bertemu pemenang antara pasukan tuan rumah, India ataupun Jepun yang sedang berentap ketika ini esok.

Loading...
Terkini