PETALING JAYA: Jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terbabit dalam kemalangan ketika sesi latihan di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.
Pelumba berusia 35 tahun itu berkongsi rakaman video kemalangan terbabit di media sosialnya yang menyaksikan dia terjatuh ketika sedang memecut bagi mengejar motosikal di hadapannya.
[1/2]
Selamat Hari Malaysia.Just to share with everyone that i have involved in high speed crash during training session due to mechanical failure. The crash happened at the first corner of the velodrome at the top speed when i was doing my speed effort chasing motorbike. pic.twitter.com/SmqJJPI1uq
— Azizulhasni Awang (@AzizulAWANG) September 16, 2023
“Sekadar untuk berkongsi dengan semua yang saya terbabit dengan kemalangan kelajuan tinggi ketika sesi latihan disebabkan kegagalan mekanikal.
“Kemalangan berlaku di selekoh pertama velodrom ketika saya memecut bagi mengejar motosikal di hadapan saya.
“Saya bersyukur kemalangan ini tidak mengakibatkan perkara lebih buruk. Ia sebenarnya boleh mendatangkan kecederaan yang serius.
“Sebarang kemalangan yang berlaku dalam situasi ini bukan bahan jenaka. Alhamdulillah, Allah selamatkan saya,” kata Azizulhasni dalam hantaran tersebut.
Situasi itu pastinya mengejutkan peminat sukan tanah air kerana Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman menjadi harapan emas negara di Sukan Asia Hangzhaou yang akan bermula 23 September ini.
Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Azizulhasni berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi acara pecut selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.