Tumpuan :
Sukan

The Pocket Rocketman dapat hadiah istimewa sempena ulang tahun ke-36

Foto: Azizulhasniawang/Instagram

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang terima hadiah istimewa sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-36.

Azizulhasni berkongsi mengenai isterinya Datin Athiah Ilyana Abd Samat yang selamat melahirkan cahaya mata keempat mereka di Melbourne, Australia, awal pagi tadi menerusi laman media sosialnya.

“Syukur isteri yang tersayang @tyailyana memberikan hadiah hari lahir yang sangat bermakna.

“Hadiah yang tidak disangka ini hadir beberapa minggu awal dan memberi kejutan besar buat kami sekeluarga,” katanya.

Menurut pemenang pingat perak keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, pada mulanya dia hanya menemani isteri untuk pemeriksaan mingguan dan diikuti dengan doktor memberitahu yang bayi sudah tidak sabar untuk keluar.

“Maka berakhirlah kami berdua di bilik bedah hanya beberapa jam selepas itu. Alhamdulillah syukur isteri dan baby sihat walafiat dan dilindungi oleh Allah SWT,” katanya.

Azizulhasni turut menyatakan penghargaan kepada isterinya di atas pengorbanan yang dilakukan selama ini.

“Masyaallah Tabarakallah sekarang saya adalah ayah kepada 4 orang anak, semoga Allah SWT memberikan balasan syurga kepada isteri yang banyak berkorban. Saya sangat sayangkan awak sayang,” katanya.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu bagaimanapun masih berteka-teki mengenai jantina cahaya mata keempatnya itu.

Azizulhasni ketika ini berada di Melbourne dalam persiapan menghadapi baki kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Loading...
Terkini