comscore
Tumpuan :
Sukan

TFL tetap diteruskan dengan kawalan ketat polis

KUALA TERENGGANU: Liga Bolasepak Terengganu (TFL) tetap diteruskan meskipun dicemari dengan insiden pergaduhan semalam.

Dalam aksi petang tadi membabitkan pertemuan Kuala Nerus Bukit Sudu (KNFA) menentang Kelab Sukan Rekreasi Petronas (KSRP) dilihat kawalan ketat dilakukan pihak polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Seramai sepuluh anggota polis yang lengkap beruniform dan 15 anggota Rela memantau perlawanan itu bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berulang.

Jurucakap penganjur berkata, perlawanan edisi kedua yang membabitkan lapan pasukan tetap diteruskan mengikut jadual perlawanan kerana semua perancangan sudah diatur.

“Cuma pada petang ini pihak kami memperketatkan lagi kawalan keselamatan dengan bantuan pihak polis dan Rela bagi memastikan perlawanan berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini sebagaimana petang semalam.

“Kita harap pertandingan anjuran Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) itu mendapat kerjasama daripada semua pemain, pegawai dan juga peminat agar insiden memalukan itu tidak lagi berulang,” katanya ketika ditemui pada perlawanan yang dimenangi KNFA dengan keputusan 9-0.

Terdahulu petang semalam menerusi dua video tular berdurasi dua minit 36 saat dan 42 saat memaparkan insiden pergaduhan ketika pertemuan antara kelab NAG FC dengan KESA FC.Insiden memalukan itu menyaksikan seorang pegawai sebuah pasukan cedera teruk pada bahagian muka sehingga berdarah selepas dipercayai dibelasah beberapa pemain pasukan lawan.

Lebih menyedihkan kelihatan dalam video itu, pemain yang terlibat bagaikan tidak menghiraukan kehadiran pihak berkuasa sebaliknya terus bertindak di luar batasan dengan menumbuk, memijak dan mengejar pemain lawan sehingga ke luar padang.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini