comscore
Tumpuan :
Sukan

TFL siasat insiden pergaduhan perlawanan bola sepak

KUALA NERUS: Terengganu Football League (TFL) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan insiden pergaduhan antara pasukan NAG FC dan KESA FC hingga menyebabkan seorang individu cedera parah, semalam.

Presidennya Hishamuddin Abdul Karim berkata siasatan mendalam akan dilakukan dengan meneliti laporan lengkap daripada pegawai perlawanan dan pihak keselamatan yang bertugas di lokasi kejadian iaitu di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di Gong Badak.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri juga memberi jaminan bahawa pihak penganjur memandang serius perkara itu dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak terlibat termasuk kelab bola sepak berkenaan.

“Insiden ini amat memalukan kerana matlamat sukan ialah untuk mengukuhkan persaudaraan bukan pergaduhan. Sekali pun sukan melibatkan perlawanan tempur seperti Muay Thai, silat atau karate..ia ada peraturannya sendiri, tamat perlawanan yang menang atau kalah tetap menjalin persaudaraan.

“Kita akan meneliti insiden ini dengan menyerahkan siasatan kepada Jawatankuasa Tatatertib TFL sebelum diputuskan secara muktamad oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Hishamuddin turut melahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang cedera parah di kepala dan muka akibat diserang dalam insiden pergaduhan petang semalam itu.

Beliau berkata pihaknya memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dan akan mengukuhkan lagi protokol keselamatan dalam setiap penganjuran acara bola sepak pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung insiden terbabit malam tadi.

Beliau berkata siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 146 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Semalam tular di media sosial video berdurasi dua minit 42 saat yang memaparkan insiden pergaduhan ketika perlawanan bola sepak di Komplek Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak.– BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini