KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) akhirnya berjaya menamatkan kemarau tanpa kemenangan selepas menundukkan Penang FC 1-0 sebentar tadi.
Terdahulu, skuad bimbingan ketua jurulatih baharu, Badrul Afzan Razali gagal melakar kemenangan dalam lapan perlawanan berturut-turut termasuk dalam saingan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara bagi merebut Piala Shopee.
Pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu, pemain pertahanan, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili muncul wira pasukan selepas berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-27.
Jaringan itu berpunca daripada hantaran silang pemain pertahanan, Muhammad Azam Azmi Murad sebelum Muhammad Ubaidullah bijak menanduk masuk gol menewaskan penjaga gawang Harimau Kumbang, Shafiq Afifi Suhaimi untuk mendahului 1-0.
Skuad Penyu yang melakukan rombakan dalam kesebelasan utama dengan menyenaraikan Rahadiazli Rahalim sebagai penjaga gol selain merehatkan dua pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dilihat lebih banyak menguasai permainan.
Bagaimanapun pelawat yang dilihat sesekali melancarkan serangan hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nabil Ahmad Latpi yang melepasi kawalan pertahanan tuan rumah, namun sepakannya pada minit ke-41 berjaya dibaca penjaga gol.
Dua minit berselang berpunca daripada kesilapan penjaga gol, penyerang Harimau Kumbang, Rodrigo Silva hampir menghukum tuan rumah, namun tandukan pemain itu sedikit melambung tinggi sekali gus terselamat pintu gol TFC.
Memasuki babak kedua, TFC memasukkan tiga tenaga baharu, Safawi, Akhyar dan Muhammad Afif Zakaria bagi menggantikan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim, Mohd Nor Hakim Hassan dan Safwan Mazlan untuk menambah jaringan, namun gagal menemui penyudah.
Kemenangan tipis 1-0 itu sudah cukup melegakan kem tuan rumah untuk mengekalkan kedudukan di tangga keempat liga dengan mengutip 21 mata hasil 14 perlawanan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.