comscore
Tumpuan :
Sukan

TFC nafi lapan pemain dijangkiti COVID-19

Aksi pemain TFC sewaktu menentang Sabah FC pada suku akhir pertama Piala FA kelmarin. FOTO: Ihsan MFL / Facebook

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) menafikan lapan pemainnya dijangkiti wabak COVID-19 seperti yang tular sebelum aksi suku akhir pertama Piala FA berdepan Sabah FC, kelmarin.

Sebaliknya jelas penolong ketua jurulatih skuad Penyu itu, Badrul Afzan Razali, hanya tiga pemain tonggaknya ‘diserang’ wabak berbahaya itu sebelum pertemuan dengan skuad Sang Badak di Stadium Sultan Mizan Zainal, Gong Badak.

“Pemain berkenaan ialah penjaga gol, Suhaimi Husin dan dua pemain pertahanan termasuk import, Argzim Redzovic dan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili selepas aksi Liga Super menentang Kuching City FC.

“Bagaimanapun semua pemain itu sudah sembuh daripada simptom COVID-19 selepas menamatkan tempoh kuarantin masing-masing,” ujar Badrul Afzan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain tidak menafikan pihaknya ada menghantar permohonan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menunda perlawanan suku akhir pertama menentang Sabah FC.

“Ya betul pihak kami ada memohon dan menghantar surat kepada pihak MFL untuk menunda perlawanan suku akhir pertama berikutan beberapa pemain kami termasuk ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner terpaksa dikuarantin selepas dijangkiti COVID-19.

“Bagaimanapun atas persetujuan bersama dengan pihak lawan (Sabah FC) selain mengelak kerugian yang terpaksa ditanggung skuad itu, kami mengambil keputusan untuk meneruskan perlawanan itu pada Jumaat lalu.

“Alhamdulillah walaupun dua pemain tidak disenaraikan kerana masih belum cergas sepenuhnya akibat COVID-19 selain ketiadaan Steinbruckner yang masih dalam tempoh kuarantin, TFC berjaya melakar kemenangan selesa sebelum aksi timbal balik pada 6 Julai depan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini