KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) terikat 2-2 dengan Kuching City FC (KCFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad kendalian Badrul Afzan Razali bermula garang dengan percubaan pertama pada minit kedua menerusi rembatan Ismaheel Akinade yang melambung tinggi.
Peluang kedua dimiliki skuad Penyu menerusi sepakan percuma Manuel Ott pada minit ke-8 berjaya menerjah jaring gol yang dikawal bekas pemain TFC, Wan Muhamad Azraie Wan Teh untuk tuan rumah mendahului 1-0.
Bersambung babak kedua, hasil hantaran lintang Ott, Akinade tidak melepaskan peluang itu apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-59 hasil pengesahan video bantuan pengadil (VAR) untuk pasukannya mendahului 2-0.
Ketinggalan dua jaringan ternyata tidak mematahkan semangat pemain pelawat apabila mereka berjaya bangkit menyamakan kedudukan 2-2 hanya dalam masa dua minit.
Gol pertama KCFC menerusi rembatan bekas pemain TFC, Jordan Mintah dalam kotak penalti pada minit ke-63 dan gol kedua juga menerusi bekas pemain skuad itu, Petrus Shetembi selepas sepakan percumanya dalam jarak kira-kira 25 meter pada minit ke-64 gagal ditepis penjaga gol.
Pada minit ke-75, skuad pelawat terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas pertahanan, Filemon Anyie dilayangkan kad merah sesudah menerima dua kad kuning.
Bagaimanapun peluang itu gagal dimanfaatkan pemain TFC dan kedudukan muktamad kekal 2-2.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.