![](https://media.buletintv3.my/2025/02/DjCa53yy-BULETIN-TV3-AD-11.jpg)
KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) gagal merealisasikan impian untuk melangkah ke separuh akhir Kejuaraan Kelab Asean (ACC) merebut Piala Shopee selepas tewas 3-4 kepada BG Pathum United dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Leo, sebentar tadi.
Kekalahan itu menyaksikan skuad ‘Penyu’ mengakhiri saingan edisi kali ini di kedudukan keempat dengan tujuh mata, sekali gus terlepas peluang ke separuh akhir selepas dipintas oleh PSM Makassar yang berada di tempat kedua, diikuti Svay Rieng di tempat ketiga.
PSM Makassar menewaskan wakil Vietnam, Thanh Hoa 3-0 menerusi dua jaringan Nermin Haljeta dan Daisuke Sakai untuk mengiringi Pathum United yang menjuarai Kumpulan A.
Dalam aksi sebentar tadi, TFC berpeluang membuka jaringan seawal minit ke-18 selepas kesilapan penjaga gol tuan rumah, Pisan Dorkmaikaew, yang menendang bola ke arah Ismahil Akinade, namun rembatan pemain import Nigeria itu dari luar kotak penalti tersasar.
Bersambung babak kedua, TFC akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-66 menerusi Akhyar Rashid yang bijak memperdayakan dua pertahanan sebelum melepaskan rembatan cantik ke bucu gawang.
Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan lima minit apabila pemain import Pathum United menyamakan kedudukan dengan rembatan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim.
Tuan rumah terus mengganas apabila menggandakan jaringan pada minit ke-76 menerusi Raniel, yang menyambar bola muntah selepas percubaan Santiphap Channgom ditepis Rahadiazli.
Pathum United semakin selesa selepas menambah gol ketiga pada minit ke-83 hasil penyudah kemas Gakuto Notsuda yang menerima hantaran cantik daripada Chanathip.
Ilhan Fandi yang masuk sebagai pemain gantian, kemudian melengkapkan malam gemilang tuan rumah dengan gol keempat pada minit ke-87, sebelum TFC cuba memberikan tentangan di penghujung perlawanan.
Dua gol saguhati TFC hadir menerusi pemain gantian, Safawi Rasid satu melalui rembatan yang mengelirukan Pisan dan satu lagi menerusi sepakan penalti di masa kecederaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.