Tumpuan :
Sukan

TFC alih tumpuan kepada Kejuaraan Kelab ASEAN

KUALA TERENGGANU: Selepas gagal melayakkan diri ke final Piala Malaysia, Terengganu FC (TFC) berdepan satu lagi tugas getir apabila berkunjung ke Thailand untuk bertemu BG Pathum United pada aksi Kejuaraan Kelab ASEAN, Rabu ini.

Ketua jurulatih Badrul Afzan Razali menyedari kepayahan yang akan diharungi anak buahnya berdepan pendahulu Kumpulan A merebut Piala Shopee itu.

Beliau bagaimanapun mengakui ada ‘resipi’ tersendiri dalam usaha memastikan tempat ke separuh akhir pertandingan kelab ASEAN itu.

Jelas Badrul Afzan, pada masa sama anak buahnya kini berada pada prestasi terbaik untuk melakar kejutan biarpun mengakui sedikit kepenatan selepas tersingkir di tangan Johor Darul Ta’zim pada separuh akhir Piala Malaysia.

“Pemain kami sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan pasukan tuan rumah walaupun sedikit keletihan selepas mengharungi saingan Piala Malaysia.

“Pada masa sama peluang buat kami untuk mara ke separuh akhir terbuka luas, yang penting kami perlu menang,” katanya.

Skuad Penyu kini menghuni tangga kedua kumpulan dengan hanya ketinggalan satu mata di belakang BG Pathum.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini