Tumpuan :
Sukan

Tewas lagi, Amorim perlukan masa baiki kelemahan United

Pengurus Manchester United, Ruben Amorim bertepuk tangan ke arah peminat selepas pasukannya kalah 2-0 di tangan Wolves pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Molineux, Wolverhampton, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

WOLVERHAMPTON: Bos Manchester United, Ruben Amorim berkata, beliau perlukan masa di padang latihan untuk memperbaiki kelemahan Red Devils selepas kalah 2-0 di tangan kelab bawahan Wolves awal pagi tadi.

Perjuangan United di Molineux tidak dibantu oleh kad merah ketiga musim ini buat kapten Bruno Fernandes hanya dua minit selepas rehat.

Matheus Cunha kemudian mendedahkan kelemahan pelawat menerusi set-piece apabila dia menjaringkan gol terus daripada sepakan sudut sebelum pemain Brazil itu mengumpan kepada Hwang Hee Chan untuk meraih kemenangan genting yang melonjak Wolves keluar daripada zon penyingkiran.

Amorim hanya menang dua daripada tujuh perlawanan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menyaksikan United merudum ke tangga ke-14.

“Saya fikir kami sering menguasai, tidak sering mendominasi, tetapi mengawal, namun perkara sama, set-piece dan kad merah itu benar-benar menyukarkan buat kami,” kata Amorim.

“Saya katakan sebelum ini kepada setiap orang: ia satu perjalanan yang panjang dan detik ini benar-benar sukar. Kami perlu meneruskannya. Kami perlukan masa untuk berlatih.”

United kini kalah tiga perlawanan terakhir mereka selepas tersingkir di tangan Tottenham 4-3 dalam Piala Liga diikuti kekalahan 3-0 di laman sendiri kepada Bournemouth, Ahad lalu.

Dalam lima perlawanan terakhir liga, pasukan Amorim melepaskan gol sama ada menerusi tendangan penjuru atau sepakan percuma.

Tugasnya tidak mudah selepas ini dengan Newcastle yang bertindak cemerlang bertandang ke Old Trafford awal pagi Selasa ini.

Kunjungan ke pendahulu EPL, Liverpool adalah perlawanan pertama United pada 2025 sebelum mereka berdepan Arsenal di gelanggang lawan pada pusingan ketiga Piala FA. – AGENSI

Loading...
Terkini