Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] Terlibat kemalangan GT Australia, Tunku Putera Johor selamat

Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU: Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim, tidak mengalami sebarang kecederaan berikutan kemalangan apabila kenderaan yang dipandu ketika pusingan kelayakan GT World Challenge Australia terbabas dan terbalik di litar Mount Panorama, Bathurst, New South Wales, Australia hari ini.

Perkara itu dizahirkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam hantaran di Facebook baginda.

Baginda menzahirkan rasa syukur dan turut memberikan kata semangat kepada anakandanya.

“Saya bersyukur Tunku Putera tidak cedera. Pastinya tengah terkejut, tetapi dia ok. Saya memberitahunya untuk terus kuatkan semangat, teruskan usaha dan harumkan nama Johor.

“Dia hampir melayakkan diri di tempat ketiga untuk perlumbaan esok, dan ia merupakan penampilan pertama Tunku Abu Bakar di litar itu. Dia dan Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman lmenunjukkan potensi serta persembahan yang baik.

“Semoga kita mendapat keputusan yang baik esok,” titah baginda.

Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Dalam hantaran itu baginda bertitah pemanduan lebih 200 kilometer sejam melalui bahagian McPhillamy Park litar itu, menyebabkan Tunku Abu Bakar hilang kawalan dan terbabas ke penghadang tayar sebelum kereta Mercedez Benz GT3 yang dipandunya itu terbalik.

Titahnya orang ramai menarik nafas lega sejurus melihat baginda berjaya mengeluarkan diri dari kereta dan menunjukkan tanda ‘peace’, kepada para penonton sebelum menaiki kenderaan kakitangan litar dan perubatan.

Berikutan insiden dan kerosakan yang dialami, Tunku Abu Bakar dan rakan sepasukan Jamie Whincup terpaksa menarik diri daripada saingan perlumbaan ‘endurance’ tiga jam esok.

Manakala, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim bersama rakan sepasukan Broc Feeney akan meneruskan cabaran JMR Triple Eight Race Engineering, bermula dari petak kedua grid.

Loading...
Terkini