LONDON: Erik ten Hag mendoakan penyokong Manchester United “tiada apa kecuali kejayaan, trofi dan kegemilangan” selepas pemecatannya susulan permulaan buruk musim ini.
Ten Hag mengemudi kejayaan United memenangi final Piala Liga dan penamat tangga ketiga Liga Perdana Inggeris pada tahun 2023, menyusulinya dengan kejayaan Piala FA menentang Manchester City pada musim keduanya.
Namun United terdampar di tangga kelapan dalam liga dan warga Belanda itu terpaksa menerima hakikat kegagalannya selepas permulaan terburuk kempen semasa.
Bekas bos Ajax itu mengucapkan terima kasih kepada peminat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan wakilnya SEG semalam.
“Terima kasih kerana sentiasa berada di sana untuk kelab,” katanya.
“Sama ada ia satu perlawanan jauh di gelanggang lawan atau satu perlawanan sukar di Old Trafford, sokongan anda tidak pernah goyah.
“Suasana di Old Trafford sentiasa meriah, terima kasih kepada anda.
“Saya berasakannya berkali-kali. Juga pada perlawanan di tempat lawan, ia memberikan pasukan dan saya satu perasaan yang luar biasa untuk mendengar nyanyian United mengambil alih stadium lawan, sama ada perlawanan itu di England, Eropah atau ketika jelajah musim panas.”
Beliau juga berterima kasih kepada kakitangan di seluruh kelab atas “sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam masa senang dan susah.”
Ten Hag berkata beliau akan “menghargai” trofi yang dimenanginya semasa berkhidmat di Old Trafford.
Ketua jurulatih Sporting Lisbon, Ruben Amorim disahkan sebagai pengganti tetap pengendali dari Belanda itu semalam dan akan memulakan tugasnya pada 11 November ini. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.