comscore
Tumpuan :
Sukan

Terengganu FC tempah tiket separuh akhir Piala FA

KUALA NERUS: Finalis musim lalu Terengganu FC (TFC) menepati ramalan apabila melangkah ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Kelantan FC 4-2 pada pertembungan suku akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini hari ini.

Beraksi di hadapan lebih 5,000 penonton, skuad tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain pertahanan Muhammad Azam Azmi Murad yang melakukan rembatan kencang dari dalam kotak penalti pada minit ke-17.

Skuad bimbingan Tomislav Steinbrukner terlepas peluang menggandakan jaringan selepas gol Ivan Mamut pada minit ke-28 dibatalkan pengadil kerana pemain import dari Crotia itu berada pada kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun, kehampaan penyokong tuan rumah berjaya ditebus kembali oleh Ivan yang menghadiahkan gol kedua pada minit ke-41 hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Skuad The Red Warriors, yang ketinggalan 0-2, tidak berputus asa apabila bangkit mengatur serangan dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi penyerang kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade pada minit ke-45.

Pada babak kedua, giliran Sony Norde menjaringkan gol ketiga buat skuad Penyu pada minit ke-52 untuk menjarakkan kedudukan menjadi 3-1.

Kelantan kendalian Frank Bernhardt sekali lagi mengurangkan defisit jaringan menerusi sepakan penalti Ismaheel Akinade pada minit ke-64 selepas Shahrul Nizam Ros Hasni dipersalahkan pengadil kerana menarik baju Mario Blasco.

Seakan keputusan berakhir 3-2, pemain gantian TFC Syafiq Ismail menjaringkan gol keempat buat pasukan sekali gus mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir dengan menanti lawan antara Sabah FC dan Kuala Lumpur City FC. – BERNAMA

Loading...
Terkini