comscore
Tumpuan :
Sukan

Terengganu dan Selangor menang besar

Pemain Kelantan FC, Muhamimin Izuddin Muhamad Asri (tengah) diasak oleh pemain Terengganu FC pada Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, malam tadi. – Foto: NSTP/Nik Abdullah Nik Omar.

KUALA LUMPUR: Terengganu mencatat kemenangan terbesarnya dalam Liga Super musim ini apabila membelasah jiran terdekat, Kelantan FC 8-0.

Lebih memeritkan Kelantan apabila perlawanan itu berlangsung di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Malah ia juga kekalahan ke-16 daripada 20 perlawanan liga oleh Kelantan setakat ini, sekali gus meletakkan pasukan itu kekal di tangga kedua tercorot.

Daripada jumlah itu, Kelantan cuma menang dua kali dan seri dua kali.

Hujan lebat hingga menyebabkan perlawanan ditangguhkan 90 minit seolah-olah petanda nasib malang Kelantan.

Di depan seawal minit ke-14 menerusi jaringan Ivan Mamut, Terengganu menambah tiga gol lagi sebelum tamat separuh masa pertama masing-masing menerusi jaringan Nurillo Tukhtasiniov (minit ke-28), Nik Muhammad Sharif Haseefy (minit ke-36) dan Engku Muhammad Nur Shakir pada minit ke-40.

Bersambung babak kedua, Terengganu hanya memerlukan masa dua minit untuk meledak gol kelima pada minit ke-47 menerusi Muhammad Safwan Mazlan apabila melakukan rembatan susulan bola hantaran rakan pasukan dalam kotak penalti.

Mamut meraih gol peribadi kedua selepas menjaringkan gol keenam pasukan pada minit ke-53 diikuti gol ketujuh Terengganu menerusi pemain gantian Mohamad Hakimi Abdullah pada minit ke-63 sebelum Mamut melengkapkan hatrik tiga minit kemudian.

Keputusan itu membolehkan Terengganu mengukuhkan kedudukan di tangga keenam dengan 32 mata.

Dalam satu lagi perlawanan, Selangor FC turut mengumpul tiga mata apabila menewaskan tuan rumah Negeri Sembilan FC 4-0.

Pemain Negeri Sembilan FC, Mahalli Jasuli (kiri) mengasak pemain Selangor FC, Muhammad Fazly Mazlan (kanan) pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Tuanku Abdul Rahman. – Foto: NSTP/Azrul Edham.

Dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu; Selangor mendominasi separuh masa pertama, namun hanya menjaringkan satu gol menerusi percubaan dari luar kotak penalti pemain import Richmond Boakye pada minit ke-27.

Tiga lagi gol Selangor dijaringkan Ayron Del Valle (minit ke-59), Yohandry Jose Orozco (minit ke-75) dan Harith Haiqal Adam Afkar (minit ke-83).

Keputusan itu menyaksikan Selangor agak selesa di tangga kedua dengan 46 mata; enam mata di atas Kedah Darul Aman (KDA) FC di tempat ketiga yang kurang dua perlawanan.

Selangor tidak boleh keciciran tiga mata dalam melengkapkan baki lima perlawanan Liga Super sekiranya mahu memastikan slot Piala AFC musim depan berada dalam genggaman.

Loading...
Terkini