comscore
Tumpuan :
Sukan

Terengganu bergelut sebelum atasi Penang

FOTO: Ghazali Kori / NSTP

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) dipaksa ‘mandi peluh’ sebelum melakar kemenangan 1-0 menumpaskan Penang FC malam tadi, pada aksi ke-12 Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Pemain gantian, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob muncul wira TFC apabila jaringannya pada babak kedua memastikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner merekod kemenangan kelima pada musim ini dengan mengumpul 17 mata.

Bagaimanapun perlawanan pada babak pertama, aksi hambar yang diperagakan pemain kedua-dua pasukan jelas membosankan 3,300 penyokong yang hadir di stadium keramat skuad Penyu itu.

Percubaan terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-16 menerusi pemain meningkat naik, Syafik Ismail, namun gagal menemui sasaran, begitu juga rembatan kaki kiri penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah pada minit ke-27 gagal memecah kebuntuan gol.

Pada minit ke-33, Sony Norde yang meledak dua gol ketika TFC terikat 2-2 dengan Sabah FC minggu lalu gagal meletakkan bola di dalam jaring menerusi sepakan percuma, begitu juga percubaan sekali lagi Syafik pada minit ke-45 tersasar di atas palang sekali gus terselamat pintu gol Harimau Kumbang yang dikawal Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri.

FOTO: Ghazali Kori / NSTP

Ketiadaan ‘arkitek, Habib Haroon yang digantung satu perlawanan susulan menerima tiga kad kuning jelas memperlihatkan jentera tengah skuad Penyu itu tidak begitu efektif.

Pada babak kedua, perubahan taktikal yang dilakukan Steinbruckner dengan membawa masuk tiga pemain baharu iaitu Engku Muhammad Nur Shakir,, Ivan Mamut dan Nik Muhamad Sharif Haseefy Mohd Lazim ternyata membuahkan hasil.

Menerusi hantaran Norde, Engku Muhammad Nur Shakir yang tidak dikawal bijak memperdaya penjaga gol pada minit ke-74 untuk pasukannya mendahului pelawat 1-0.

Jaringan itu kekal hingga wisel penamat ditiup pengadil.

Loading...
Terkini