Tumpuan :
Sukan

Terengganu belasah Sri Pahang di Temerloh

Pemain pertahanan Sri Pahang FC, Aleksandar Cvetkovic (kiri) dilayangkan kad merah pada aksi Liga Super malam ini. Foto: Sri Pahang FC

KUANTAN: Sri Pahang FC gagal memanfaatkan kelebihan di halaman sendiri apabila dibelasah Terengganu FC 1-5 pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, sebentar tadi.

Skuad Tok Gajah yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang tempoh 62 minit, nyata tidak berupaya menyekat lawan daripada membawa pulang tiga mata.

Terengganu membuktikan mereka sememangnya layak menang apabila tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan pemain tengah, Akhyar Rashid seawal minit kedua.

Pada minit ke-20, Safawi Rasid memastikan skuad itu selesa mendahului tuan rumah 2-0 selepas menewaskan penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin.

Enam minit kemudian, skuad kendalian Fandi Ahmad terpaksa beraksi 10 pemain apabila pemain pertahanan, Aleksandar Cvetkovic dilayangkan kad merah kerana mengasari Akhyar.

Kekurangan seorang pemain menyaksikan pelawat berjaya menjaringkan gol ketiga menerusi pemain pertahanan, Muhammad Safwan Mazlan minit ke-28.

Namun, Sergio Aguero yang menerima hantaran daripada Mykola Ahapov berjaya menewaskan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, sekali gus mengurangkan defisit 1-3 sebelum berakhir aksi babak pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah yang ketinggalan berusaha untuk menambah jaringan tetapi segala gerakan yang dilakukan berjaya dipatahkan lawan.

Sebaliknya, TFC berjaya menambah jaringan keempat hasil sentuhan Ismaheel Akinade pada minit ke-59 sebelum Manuel Ott menjaringkan gol kelima seminit sebelum tamat perlawanan.

Loading...
Terkini