KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta sejarah tersendiri apabila buat kali pertama berjaya melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia.
Kejayaan itu hadir selepas pasangan ranking ke-14 dunia itu menundukkan gandingan Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-15, 21-11 pada aksi suku akhir di Axiata Arena Bukit Jalil, sebentar tadi.
Ini menjadi pencapaian terbaik mereka sepanjang penampilan di kejohanan bertaraf Super 1000 itu selepas tiga kali berturut-turut tersingkir di pusingan pertama bermula edisi 2022, 2023 dan 2024.
Kai Wun, berkata saling mempercayai antara satu sama lain menjadi kunci kepada persembahan cemerlang mereka setakat ini.
“Kami gembira dapat mengeluarkan permainan kami seperti mana ketika latihan dan ia sesuatu yang positif untuk kami. Namun, kami percaya kami boleh buat lebih baik lagi,” kata Kai Wun sejurus tamat perlawanan.
Wei Chong-Kai Wun akan berdepan gandingan China, Chen Bo Yang-Liu Yi bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.
Atas kertas, pertemuan memihak Wei Chong-Kai Wun yang mendahului rekod pertemuan 1-0 selepas menang ke atas Bo Yang-Liu Yi di Kejohanan Badminton Asia tahun lalu.
Wei Chong, berkata tahap keyakinan mereka semakin meningkat pada aksi separuh akhir itu.
“Kami bermain dengan baik berbanding kejohanan sebelum ini. Beregu China itu memiliki kelebihan dari segi kekuatan dan kepantasan selain mempunyai corak permainan yang baik. Jadi, kami kena buat persiapan terbaik,” katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir wakil beregu lelaki negara muncul juara di Terbuka Malaysia adalah menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah pada edisi 2014.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.